Pages


Berikan pandangan anda tentang penggunaan peribahasa dalam amalan seharian masyarakat hari ini.
Pada pandangan saya, peribahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya di kalangan orang-orang Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran, Dengan menggunakan peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain. Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu menyedari betapa susahnya untuk memberikan nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaannya. Lantas, mereka mula mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang. Seringkali perkara yang diumpamakan itu berkaitan secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.

Peribahasa masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga hari ini. Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Antara beberapa contoh peribahasa termasuklah “Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga”, “Masa itu emas”, “Ibarat burung, mata lepas badan terkurung”, “Bagai aur dengan tebing”, “Seperti api dalam sekam”, “Seperti anak ayam kehilangan induk”, “Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi”, “Ukur baju pada badan sendiri”, dan “Muafakat Membawa Berkat”.
Sesungguhnya tujuan utama penciptaan peribahasa adalah untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat pada zaman dahulu kala. Selain itu, peribahasa berfungsi sebagai pengawal sosial. Hal ini bermaksud masyarakat dahulu kala sering menegur anggotanya dengan cara berkias ibarat melalui peribahasa. Dengan cara demikian, orang yang ditegur tidak mudah tersinggung. Begitulah juga dengan pihak penegur yang lazimnya terdiri daripada orang tua-tua, tidak akan berasa segan untuk berbuat demikian apabila diperlukan. Misalnya, apabila seorang tua yang ingin menegur sikap bebas anak gadisnya akan menggunakan peribahasa yang berbunyi “takkanlah perigi yang mencari timba”. Dalam konteks lain pula, seorang guru akan menasihati anak muridnya yang berasa malu untuk bertanya sesuatu dengan menggunakan peribahasa ini, “malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut”.
Sungguhpun kebanyakan peribahasa yang dicipta orang dahulu kala masih benar dan sahih sehingga kini, namun terdapat sebilangan kecil peribahasa tersebut yang tidak dapat diterima pakai lagi pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang serba moden dan canggih ini. Pada pendapat saya, seboleh-bolehnya kita mengabaikan peribahasa-peribahasa tersebut yang dimaksudkan itu. Beberapa contoh peribahasa yang sudah usang dan ketinggalan zaman ialah seperti “Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang”, “Biar mati anak, jangan mati adat”, dan “Hutang darah dibayar darah”.
Pada pendapat saya, ketiga-tiga contoh peribahasa yang dikemukakan di atas tidak dapat diterima pakai lagi kini kerana beberapa alasan seperti yang diterangkan di sini. Contoh peribahasa yang pertama jika diamalkan bukan saja dapat mematikan semangat juang seseorang individu malah akan menjadikannya seorang yang tidak menginginkan kemajuan. Sekiranya seluruh masyarakat berpegang pada fahaman sedemikian, selama itulah masyarakat tersebut akan berada di takuk lama kerana tiada kemajuan yang dapat dicapai.
Sementara peribahasa yang kedua lebih mementingkan adat daripada anak sendiri. Dalam konteks ini, masyarakat dahulu kala mementingkan kelompok daripada individu. Namun pada dewasa ini, para ibu bapa tidak sanggup lagi mengorbankan anak sendiri semata-mata untuk mempertahankan adat masyarakat. Sebaliknya, anaklah yang diutamakan daripada segala-galanya. Itulah nilai masyarakat hari ini.
Peribahasa yang ketiga pula tidak harus dipraktikkan kerana mendorong keluarga mangsa bertindak balas terhadap pembunuhnya. Sekiranya hal sedemikian dilakukan, masyarakat akan menjadi tidak tenteram. Pada masa sekarang kita mempunyai pasukan polis dan badan kehakiman, jadi biarlah mereka yang menjalankan siasatan terhadap sebarang jenayah dan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah.
Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak. Sebagai contoh (ciptaan sendiri): Seperti tetikus tanpa wayar atau seperti tetikus lepas tambatan. Penjelasan:Tetikus dahulu terikat kepada komputer dan tidak bebas bergerak.
Bagaimanapun, tetikus moden tanpa wayar bebas bergerak tanpa perlu terikat dengan komputer. Ertinya: Seseorang yang dahulunya terikat kini bebas hendak kemana-mana sahaja. Contoh penggunaan: Aminah kini bebas pergi ke disko semenjak dia keluar dari rumah keluarganya dan berpindah di kampung ke bandar, seperti tetikus lepas tambatan. Pada masa kini, aspek Peribahasa semakin kurang dititikberatkan walaupun peribahasa merupakan elemen penting dalam kriteria berbahasa. Antara sebab peribahasa merupakan bahasa klise dan milik sastera lama, tidak memahami peribahasa dengan baik, peribahasa mempunyai banyak makna tersirat, jumlah peribahasa yang banyak dan mempunyai makna tersirat, dan beberapa sebab yang lain.
Peribahasa itu ialah rangkaian-rangkaian perkataan yang tetap; tersimpul dan terbeku dengan susunan-susunan yang khas dan dipakai dengan erti yang khas yang berlainan daripada asalnya. Za'ba menakrifkan  peribahasa sebagai susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.
Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, dan pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafalkan seberapa banyak peribahasa. Pustaka Abdullah Husain menakrifkan peribahasa itu sama tuanya dengan bahasa sesuatu bangsa dan peribahasa mula-mula digunakan apabila manusia mulai mengenal peradaban ketika organisasi kehidupan perlu diatur, batas antara yang baik dengan yang buruk perlu diadakan untuk menjadi pendinding tatatertib pergaulan dan perhubungan sesama manusia.
Peribahasa dalam sesuatu bahasa mempunyai peranannya yang istimewa, bukan sahaja memperkaya khazanah bahasa bahkan lebih penting daripada itu memancarkan pandangan hidup, nilai, sikap, cara berfikir atau keperluan akal budi  masyarakat pengguna bahasa itu. Awang Sariyan Peribahasa mengandungi ciri-ciri komunikasi moden, keringkasan, ketepatan dan kepadatan maklumat. Awang Sariyan (Pengantar), Titian Bahasa, Mohd Adnan Mohd Ariffin, DBP (1992) Oleh sebab cakap-cakap itu dibentuk dengan satu ikatan bahasa yang indah, maka melekatlah di mulut orang ramai, lalu di pakai untuk menjadi bandingan , teladan dan pengajaran. Mohd Yusod Mustafa, Mestika Bahasa, DBP (1965) Sumber yang disenaraikan berkaitan peribahasa ialah peribahasa merupakan pengalaman hidup rakyat jelata, merupakan pengamatan orang arif bijaksana dan kandungan kitab suci. Abdullah Hussain.
Peribahasa sebagai alat penting untuk merakam pemikiran dan megungkapkan peradaban Melayu sentiasa menjadi perhatian pengkaji-pengkaji walaupun tidak banyak kajian yang telah dijalankan secara serius. Ahmad Fuad Mat Hassan dan Zaitul Azma Zainon Hamzah (2010) melalui kajian mereka Pengkategorian Peribahasa Melayu Berdasarkan Aspek Nilai dan Pemikiran: Satu Analisis Pragmatik telah mengenal pasti jenis-jenis peribahasa Melayu yang menonjolkan aspek nilai dan pemikiran Melayu dan mengenal pasti penggunaan bahasa yang tersurat dan tersirat dalam peribahasa Melayu untuk menyampaikan mesej pemikiran dengan menggunakan Teori Relevans. Data kajian dikumpul daripada teks Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dan Peribahasa SPM.
Data kajian ini dianalisis menggunakan teori pragmatik. Daripada kajian yang dijalankan didapati peribahasa Melayu turut memaparkan aspek nilai dan pemikiran untuk dijadikan pengajaran dan panduan hidup oleh para pengguna bahasa. Aspek nilai dan pemikiran yang terkandung dalam peribahasa ini dipaparkan mengikut 16 nilai murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Pengkaji juga mendapati bahawa peribahasa boleh dijadikan elemen penting dalam membentuk jati diri dan seterusnya membangunkan minda. Peribahasa Melayu turut menjelaskan tentang falsafah pengajaran dan gambaran ketinggian pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu yang disampaikan secara halus dan berkesan.
Mohamad Radzi Salleh (1999) pula dalam kajian yang bertajuk Peribahasa dalam Masyarakat Melayu Satu Analisis Pemikiran dan Cerminan Falsafah menganalisis pemikiran masyarakat Melayu dahulu yang menjana pemikiran mencipta peribahasa yang unik serta mengandungi makna yang cukup mendalam. Pengkaji juga mencari dan melihat falsafah sebenar yang terkandung di sebalik peribahasa. Dapatan kajian menunjukkan bahawa masyarakat Melayu dahulu berjaya menjana pemikiran menggunakan unsur-unsur alam di sekeliling mereka untuk mencipta peribahasa dan simpulan bahasa yang mengandungi falsafah yang cukup mendalam dan terpendam dengan pelbagai nilai moral, pandangan hidup, aspirasi, kepercayaan dan pengetahuan yang didukung oleh masyarakat penciptanya.
Logik dan emosi orang Melayu melalui peribahasa telah dikaji secara saintifik dan teoritis oleh Lim Kim Hui (2003) dalam kajiannya Budi as the Malay Mind: A philosophical Study of Malay Ways of Reasoning and Emotion in Peribahasa (Budi sebagai Minda Melayu: Satu Kajian Falsafah terhadap Kaedah Pendalilan dan Emosi Melayu dalam Peribahasa). Pengkaji membuktikan bahawa prinsip logik sosial turut ditemui dalam peribahasa disamping unsur-unsur emosi yang agak kuat.
Kesimpulannya, peribahasa-peribahasa yang sudah usang dan tidak relevan dengan suasana masyarakat pada hari ini tidak seharusnya diamalkan lagi demi kesejahteraan masyarakat. Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafalkan seberapa banyak peribahasa seperti robot.

No comments:

Post a Comment